DUA perunding kardiologi daripada Cardiac Vascular Sentral Kuala Lumpur (CVSKL), Dr Al Fazir Omar dan Datuk Dr Rosli Mohd Ali, terbabit dalam satu prosedur yang disiarkan secara langsung ke seluruh dunia pada 6 Mei lalu.
Mereka melakukan prosedur bagi kes penyempitan arteri koronari (bifurcation case) sebagai sebahagian daripada program kebajikan ‘CTO Live Aid 2021’.
Dr Al Fazir berkata, CTO Live Aid 2021 ialah program yang disiarkan secara langsung selama 16 jam bertujuan mengumpul dana merawat pesakit penyakit koronari di samping memberikan latihan kepada pakar kardiologi di seluruh dunia.
“CTO Live Aid 2021 menyaksikan 26 pakar kardiologi daripada pelbagai negara berjaya melakukan intervensi kes sebenar dalam tempoh berkenaan.
“Secara keseluruhan, 10 intervensi koronari perkutaneus (PCI) daripada kes ‘total occlusion (CTO)’ dan 16 prosedur merawat penyempitan arteri koronari dilakukan sepanjang siaran berlangsung.
“Setiap intervensi disiarkan dan diulas secara langsung menerusi laman web khusus yang menyediakan mesej klinikal bagi membolehkan pakar, pengulas serta orang ramai berkongsi pengalaman profesional mereka,” katanya.
Menurutnya, CVSKL menjadi satu-satunya hospital di Asia Tenggara yang menyertai program berkenaan bersama beberapa hospital lain dari seluruh dunia.
Katanya, ia satu penghormatan apabila diundang untuk menjadi sebahagian pasukan yang mengendalikan program CTO Live Aid bagi berkongsi pengetahuan kami kepada pakar kardialogi lain di seluruh dunia.

“Kami di CVSKL sentiasa komited dalam pengajaran, pembelajaran dan meningkatkan hasil rawatan kepada setiap pesakit,” katanya.
Menurut beliau, pasukan jantung ini diketuai beliau sendiri bersama Dr Rosli (dari CVSKL) dan ketika sesi berlangsung, ia turut diselia oleh Prof Dr Wan Azman Wan Ahmad dari Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
“Untuk tahun kedua ini, CTO Live Aid memberi banyak manfaat kepada pakar kardiologi dari seluruh dunia untuk meneruskan usaha ini, walaupun diadakan secara maya tanpa sebarang risiko jangkitan Covid-19,” katanya.
Reference: