MASALAH kecacatan atau kelainan struktur jantung yang wujud sejak lahir atau ditakrifkan sebagai kongenital, dikesan berlaku dalam lapan bayi bagi setiap 1,000 kelahiran di Malaysia. Berdasarkan perangkaan semasa, kadar kelahiran saban tahun di negara ini ialah sekitar 500,000 orang, sekali gus menyaksikan kira-kira 4,000 kes kongenital jantung memerlukan rawatan khusus. Menerusi statistik berkenaan, seramai 3,000 bayi harus mendapatkan rawatan atau pemulihan struktur jantung demi membolehkan mereka menikmati kualiti kehidupan menjelang usia dewasa.
Pakar Perunding Bedah Kardiotorasik dan Jantung Kongenital dari Cardiac Vascular Sentral Kuala Lumpur (CVSKL), Datuk Dr Hamdan Leman, menjelaskan Malaysia masih bergelut dalam menawarkan rawatan kepada masalah kesihatan berkenaan. Katanya, hal itu kerana kes kongenital jantung yang dialami pesakit saban tahun melebihi daripada kapasiti rawatan dan pakar di seluruh negara. Selari perkembangan semasa, hanya dua institusi perubatan awam, masing-masing di Kuala Lumpur dan Selangor, selain beberapa hospital swasta berupaya menyediakan rawatan serta pembedahan bagi masalah kongenital jantung.
Datuk Dr Hamdan Leman
“Jika kita kira secara kasar, semua institusi perubatan ini mampu merawat kira-kira 2,000 kes, tetapi kes yang dilaporkan saban tahun melebihi jumlah berkenaan,” katanya.
Kekurangan kapasiti perubatan
Justeru, Dr Hamdan berkata, isunya di sini ialah institusi perubatan tidak mampu tampung penyediaan rawatan bagi kes kongenital jantung yang berlaku di Malaysia.
“Senarai menunggu untuk seseorang pesakit menjalani pembedahan kes kongenital jantung pula terlalu panjang, sekali gus menyaksikan masalah ini semakin meruncing tanpa sebarang penyelesaian menyeluruh,” katanya. Selain kekurangan kapasiti rawatan, Dr Hamdan berkata, kes kongenital jantung setakat ini tidak mendapat perlindungan insurans sehingga menambah bebanan kepada pesakit untuk menampung kos perubatan.
Bagaimanapun, wujud segelintir badan amal seperti yayasan dan kerajaan negeri, menerusi pakej penjagaan kesihatan tampil menawarkan bantuan untuk membiayai kos rawatan.”Itu antara isu yang menjadi kekangan untuk seseorang pesakit mendapatkan rawatan kes kongenital jantung, tetapi ada juga faktor lain iaitu keengganan menjalani pembedahan. “Antara justifikasi yang diberikan ialah khuatir dan ngeri dengan prosedur pembedahan, selain memikirkan nasib bayi atau anak mereka apabila terpaksa berdepan pilihan rawatan sedemikian.
“Sebaliknya, prosedur pembedahan jantung sudah wujud sejak 1950-an dan ia sudah menjadi kelaziman, malah terbukti berupaya memberi jaminan untuk seseorang menjalani kualiti kehidupan seperti biasa. “Berbanding dengan pilihan untuk bergantung kepada ubat dan menjalani fisioterapi sepanjang hayat, rawatan pembedahan kongenital jantung sebenarnya adalah lebih baik,” katanya.
Kenal pasti kes kongenital jantung
Mengikut nisbah berdasarkan pengalaman berkecimpung dalam dunia perubatan lebih 30 tahun, Dr Hamdan berkata 70 peratus pesakit atau ibu bapa bersetuju untuk menjalani pembedahan jantung. Sebelum memulakan prosedur di dewan bedah, beberapa ujian akan dijalankan terhadap pesakit bagi mengenal pasti jenis kongenital jantung seperti masalah injap, jantung berlubang dan saluran terbalik. Jika diteliti, kelainan struktur jantung yang dialami sejak lahir sehingga kini mempunyai sekitar 150 hingga 170 jenis kecacatan, dengan tahap keparahan antara biasa, pertengahan dan serius.
Bayi yang ada masalah struktur jantung perlu diberi rawatan untuk tingkatkan kualiti kehidupan menjelang usia dewasa. – Foto hiasan
“Ujian prapembedahan juga dibuat bagi menentukan sama ada pesakit kongenital jantung mengalami sindrom eisenmenger atau keadaan di mana darah bersih bercampur dengan darah kotor. “Jika sindrom eisenmenger terlalu parah sehingga sudah mempengaruhi tekanan darah dalam saluran jantung, pembedahan tidak dapat dijalankan, justeru pesakit terpaksa menjalani rawatan paliatif dan bergantung kepada ubat. “Sekiranya tiada masalah berbangkit, pembedahan harus dijalankan secepat mungkin bagi mengelak isu lain seperti kegagalan organ penting dalam tubuh badan seperti ginjal, hati dan paru-paru. “Sebagai contoh, sekiranya seseorang pesakit dikesan mengalami masalah saluran darah dalam jantung terbalik, pembedahan sepatutnya dijalankan dalam tempoh dua hingga tiga minggu,” katanya.
Program pemulihan pesakit
Beliau berkata, selepas menjalani pembedahan sekitar lima hingga enam jam jika tanpa komplikasi, Dr Hamdan berkata pesakit akan ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) untuk tempoh satu hingga dua hari.
Sepanjang berada di ICU, sistem pernafasan menerusi fungsi jantung diambil alih oleh mesin untuk membantu kadar penyembuhan, sebelum pesakit disedarkan dan ditempatkan di wad biasa. Pasca menjalani program pemulihan, fisioterapi dan senaman, Dr Hamdan berkata pesakit akan dibenarkan pulang ke rumah dan dijangka berupaya menjalani kualiti kehidupan biasa dalam tempoh empat hingga enam minggu kemudian.”Ini jangkaan kadar pemulihan untuk orang dewasa, tetapi berbeza situasi dengan bayi kerana mereka lebih lemah,” katanya.
Info
Penyakit jantung kongenital
• Kelainan pada struktur dan fungsi jantung wujud sejak lahir
Simptom penyakit:
• Irama jantung yang tidak normal
• Pening
• Masalah pernafasan
• Pengsan
• Pembengkakan
• Keletihan
References