CVSKL lakar sejarah, rawat masalah Stenosis Aorta ke-50

KUALA LUMPUR: Cardiac Vascular Sentral Kuala Lumpur (CVSKL), hospital jantung dan vaskular bersepadu mencatat pencapaian membanggakan apabila baru-baru ini melaksanakan Implantasi Injap Aorta Transkateter (TAVI) yang ke-50, selepas prosedur pertama dilaksanakan pada 2019.

TAVI adalah prosedur invasif minimum yang sangat rumit (kompleks), khusus untuk individu dengan masalah stenosis aorta (injap aorta tersumbat) yang teruk dan tidak sesuai menjalani pembedahan, terutama dalam kalangan warga emas.

Stenosis aorta berlaku apabila injap antara ventrikel kiri dan aorta tidak terbuka sepenuhnya akibat pemendakan kalsium, yang menyebabkan darah sukar mengalir ke seluruh badan.

Penyakit injap jantung adalah antara penyebab utama morbiditi dan mortaliti kardiovaskular di dunia dan kemerosotan patologinya dikaitkan dengan proses penuaan, di mana pembedahan tidak sesuai untuk pesakit yang lebih tua.

Perunding kardiologi, Datuk Dr Rosli Mohd Ali sememang terkenal dengan kemahirannya merintis prosedur TAVI dan beliau adalah seorang daripada dua proktor di negara ini.

Bersama dua pakar kardiologi, Datuk Dr Tamil Selvan Muthusamy dan Dr Choo Gim Hooi sebagai pakar bedah kedua dan ketiga, beliau mengetuai pasukannya melakarkan kejayaan dalam prosedur itu selama dua jam.

Mengulas pencapaian tersebut, Datuk Dr. Rosli menyatakan bahwa prosedur TAVI telah mengubah paradigma dalam pengobatan stenosis aorta yang parah, sehingga memberikan pilihan kepada pasien yang tidak cocok untuk menjalani operasi terbuka.

“Kerja berpasukan yang cemerlang antara rakan sekerja saya dan seluruh pasukan cathlab di sini memastikan semua kes yang rumit (kompleks) diselaraskan sebaik-baiknya untuk memastikan hasil dan kualiti penjagaan yang lebih baik,” katanya dalam kenyataan.

Ditubuhkan pada 2020, program Structural Heart Centre of Excellence (Pusat Kecemerlangan Jantung Berstruktur) di CVSKL berfungsi untuk mendiagnosis dan merawat masalah struktur jantung yang menjejaskan injap, dinding, ruang, dan otot jantung. Masalah jantung ini wujud sejak lahir atau ia disebabkan oleh penuaan.

Source

Rawatan kongenital jantung

Berita Harian_Dr. Hamdan Leman
Kelainan struktur jantung wujud sejak lahir dikesan berlaku dalam lapan bayi bagi setiap 1,000 kelahiran di Malaysia.- Foto hiasan

MASALAH kecacatan atau kelainan struktur jantung yang wujud sejak lahir atau ditakrifkan sebagai kongenital, dikesan berlaku dalam lapan bayi bagi setiap 1,000 kelahiran di Malaysia. Berdasarkan perangkaan semasa, kadar kelahiran saban tahun di negara ini ialah sekitar 500,000 orang, sekali gus menyaksikan kira-kira 4,000 kes kongenital jantung memerlukan rawatan khusus. Menerusi statistik berkenaan, seramai 3,000 bayi harus mendapatkan rawatan atau pemulihan struktur jantung demi membolehkan mereka menikmati kualiti kehidupan menjelang usia dewasa.

Pakar Perunding Bedah Kardiotorasik dan Jantung Kongenital dari Cardiac Vascular Sentral Kuala Lumpur (CVSKL), Datuk Dr Hamdan Leman, menjelaskan Malaysia masih bergelut dalam menawarkan rawatan kepada masalah kesihatan berkenaan. Katanya, hal itu kerana kes kongenital jantung yang dialami pesakit saban tahun melebihi daripada kapasiti rawatan dan pakar di seluruh negara. Selari perkembangan semasa, hanya dua institusi perubatan awam, masing-masing di Kuala Lumpur dan Selangor, selain beberapa hospital swasta berupaya menyediakan rawatan serta pembedahan bagi masalah kongenital jantung.

Datuk Dr Hamdan Leman

Datuk Dr Hamdan Leman

“Jika kita kira secara kasar, semua institusi perubatan ini mampu merawat kira-kira 2,000 kes, tetapi kes yang dilaporkan saban tahun melebihi jumlah berkenaan,” katanya.

Kekurangan kapasiti perubatan

Justeru, Dr Hamdan berkata, isunya di sini ialah institusi perubatan tidak mampu tampung penyediaan rawatan bagi kes kongenital jantung yang berlaku di Malaysia.

“Senarai menunggu untuk seseorang pesakit menjalani pembedahan kes kongenital jantung pula terlalu panjang, sekali gus menyaksikan masalah ini semakin meruncing tanpa sebarang penyelesaian menyeluruh,” katanya. Selain kekurangan kapasiti rawatan, Dr Hamdan berkata, kes kongenital jantung setakat ini tidak mendapat perlindungan insurans sehingga menambah bebanan kepada pesakit untuk menampung kos perubatan.

Bagaimanapun, wujud segelintir badan amal seperti yayasan dan kerajaan negeri, menerusi pakej penjagaan kesihatan tampil menawarkan bantuan untuk membiayai kos rawatan.”Itu antara isu yang menjadi kekangan untuk seseorang pesakit mendapatkan rawatan kes kongenital jantung, tetapi ada juga faktor lain iaitu keengganan menjalani pembedahan. “Antara justifikasi yang diberikan ialah khuatir dan ngeri dengan prosedur pembedahan, selain memikirkan nasib bayi atau anak mereka apabila terpaksa berdepan pilihan rawatan sedemikian.

“Sebaliknya, prosedur pembedahan jantung sudah wujud sejak 1950-an dan ia sudah menjadi kelaziman, malah terbukti berupaya memberi jaminan untuk seseorang menjalani kualiti kehidupan seperti biasa. “Berbanding dengan pilihan untuk bergantung kepada ubat dan menjalani fisioterapi sepanjang hayat, rawatan pembedahan kongenital jantung sebenarnya adalah lebih baik,” katanya.

Kenal pasti kes kongenital jantung

Mengikut nisbah berdasarkan pengalaman berkecimpung dalam dunia perubatan lebih 30 tahun, Dr Hamdan berkata 70 peratus pesakit atau ibu bapa bersetuju untuk menjalani pembedahan jantung. Sebelum memulakan prosedur di dewan bedah, beberapa ujian akan dijalankan terhadap pesakit bagi mengenal pasti jenis kongenital jantung seperti masalah injap, jantung berlubang dan saluran terbalik. Jika diteliti, kelainan struktur jantung yang dialami sejak lahir sehingga kini mempunyai sekitar 150 hingga 170 jenis kecacatan, dengan tahap keparahan antara biasa, pertengahan dan serius.

Bayi yang ada masalah struktur jantung perlu diberi rawatan untuk tingkatkan kualiti kehidupan menjelang usia dewasa. - Foto hiasan

Bayi yang ada masalah struktur jantung perlu diberi rawatan untuk tingkatkan kualiti kehidupan menjelang usia dewasa. – Foto hiasan

“Ujian prapembedahan juga dibuat bagi menentukan sama ada pesakit kongenital jantung mengalami sindrom eisenmenger atau keadaan di mana darah bersih bercampur dengan darah kotor. “Jika sindrom eisenmenger terlalu parah sehingga sudah mempengaruhi tekanan darah dalam saluran jantung, pembedahan tidak dapat dijalankan, justeru pesakit terpaksa menjalani rawatan paliatif dan bergantung kepada ubat. “Sekiranya tiada masalah berbangkit, pembedahan harus dijalankan secepat mungkin bagi mengelak isu lain seperti kegagalan organ penting dalam tubuh badan seperti ginjal, hati dan paru-paru. “Sebagai contoh, sekiranya seseorang pesakit dikesan mengalami masalah saluran darah dalam jantung terbalik, pembedahan sepatutnya dijalankan dalam tempoh dua hingga tiga minggu,” katanya.

Program pemulihan pesakit

Beliau berkata, selepas menjalani pembedahan sekitar lima hingga enam jam jika tanpa komplikasi, Dr Hamdan berkata pesakit akan ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) untuk tempoh satu hingga dua hari.

Sepanjang berada di ICU, sistem pernafasan menerusi fungsi jantung diambil alih oleh mesin untuk membantu kadar penyembuhan, sebelum pesakit disedarkan dan ditempatkan di wad biasa. Pasca menjalani program pemulihan, fisioterapi dan senaman, Dr Hamdan berkata pesakit akan dibenarkan pulang ke rumah dan dijangka berupaya menjalani kualiti kehidupan biasa dalam tempoh empat hingga enam minggu kemudian.”Ini jangkaan kadar pemulihan untuk orang dewasa, tetapi berbeza situasi dengan bayi kerana mereka lebih lemah,” katanya.

Info

Penyakit jantung kongenital

• Kelainan pada struktur dan fungsi jantung wujud sejak lahir

Simptom penyakit:

Irama jantung yang tidak normal

• Pening

• Masalah pernafasan

• Pengsan

• Pembengkakan

• Keletihan

Source

References

Berita Harian News Article_Datuk Dr. Hamdan Leman

Doktor CVSKL sumbang RM1 juta kepada Yayasan CVSKL

KUALA LUMPUR: Hospital jantung swasta terkemuka di rantau ini, Cardiac Vascular Sentral Kuala Lumpur (CVSKL) sekali lagi melakar sejarah apabila menubuhkan yayasannya sendiri, Yayasan CSVKL.

Penubuhan yayasan itu adalah usaha berterusan CVSKL dalam meningkatkan sistem penjagaan kesihatan bagi pesakit kurang bernasib baik di negara ini untuk mendapatkan rawatan perubatan yang kompleks.

Pengerusi Yayasan CVSKL, Tan Sri Rashpal Singh, berkata yayasannya adalah sebuah pertubuhan amal dan bukan bermotifkan keuntungan, diasaskan oleh pasukan doktor di CVSKL.

Katanya, yayasan berkenaan ditadbir oleh Lembaga Pemegang Amanah yang terdiri daripada peneraju industri dalam pelbagai sektor.

“Objektif yayasan ini adalah untuk menyokong kemajuan perubatan dan inisiatif penyelidikan, meningkatkan kesedaran tentang penyakit jantung dan vaskular.

“Selain itu, ia menyediakan sokongan kewangan untuk golongan berpendapatan rendah melalui pengurusan dana yang diterima dan dikumpulkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Yayasan CVSKL yang disempurnakan oleh Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir.

Turut hadir, Pakar Perunding Kardiologi CVSKL, Datuk Dr Rosli Mohd Ali.

Terdahulu, Dr Rosli menyampaikan cek replika bernilai RM1 juta kepada Yayasan CVSKL.

Rashpal berkata, pelancaran Yayasan CVSKL pada ketika ini tepat pada masanya ketika negara berada dalam fasa endemik dan pemulihan ekonomi.

“Kebergantungan kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan awam yang tinggi menyebabkan kemudahan terlalu sesak, justeru inisiatif seperti pembiayaan penyelidikan perubatan dilihat dapat mengurangkan beban di hospital awam,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya sedia bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk membantu kerajaan dalam meningkatkan kesejahteraan sosial dan kualiti kesihatan rakyat negara ini.

Sementara itu, Dr Rosli berkata, dengan adanya Yayasan CVSKL, ia dapat mengukuhkan CVSKL sebagai Pusat Kecemerlangan.

“Sebagai contoh, pada tahun lalu, ketika meraikan ulang tahun keempat yang disambut setiap 28 November, kami memilih 11 pesakit kurang kurang berkemampuan untuk menjalani prosedur jantung dan vaskular tanpa membayar sebarang kos,” katanya.

Tahun lalu, program tanggungjawab sosial CVSKL bernilai RM4.15 juta memberi manfaat kepada 545 pesakit.

Maklumat lanjut mengenai Yayasan CVSKL boleh dilayari menerusi laman sesawang www.cvskl.com.

Source

Prosedur TAVI kurang risiko kematian

FAKTOR usia menjadi salah satu punca utama injap jantung seseorang individu rosak.

Bagaimanapun, kebanyakan mereka yang sudah berusia terutama 70 tahun ke atas, mengambil keputusan enggan menjalani sebarang rawatan kerana bimbang pelbagai risiko.

Ini kerana dalam usia berkenaan ditambah dengan penyakit lain yang dihidapi, risiko kematian akibat pembedahan lebih tinggi.

Bagaimanapun, dengan teknologi terkini proses penggantian injap aorta jantung boleh dilakukan tanpa melakukan pembedahan terbuka yang dikenali sebagai sebagai Transcatheter Aortic Valve Implantation (TAVI).

Perunding Kardiologi Cardiac Vascular Sentral Kuala Lumpur (CVSKL), Dr Rosli Mohd Ali, berkata prosedur TAVI masih belum meluas di negara ini kerana faktor kos yang tinggi dan kurangnya pengetahuan mengenai prosedur ini di kalangan masyarakat dan juga komuniti perubatan.

Namun katanya, berbanding pembedahan yang mengambil masa sehingga tiga jam, prosedur TAVI mengambil masa yang lebih pendek.

“Malah dalam tempoh dua sehingga tiga hari selepas selesai melakukan prosedur TAVI, kebanyakan pesakit boleh keluar dari hospital, manakala dalam tempoh empat ke lima hari sudah boleh melakukan aktiviti seperti biasa.

“Ia berbeza dengan rawatan pembedahan terbuka di mana proses penyembuhan mengambil masa antara dua sehingga tiga bulan.

“Pesakit boleh menjalani prosedur ini dengan cara sedasi di mana pesakit diberi ubat untuk tidur dan tidak perlu menjalani anestesia general dan bantuan alat pernafasan,” katanya.

Pembedahan lebih selamat

Dr Rosli berkata, prosedur itu juga lebih selamat daripada pembedahan kerana selain mengurangkan risiko kematian, ia dapat mengurangkan risiko strok ketika pembedahan, masalah kegagalan buah pinggang serta kehilangan darah.

Ini kerana prosedur itu hanya perlu melakukan satu cucukan atau hirisan kecil di pangkal peha atau bahu untuk dimasukkan satu tiub ke dalam saluran darah sehingga ke injap jantung.

“Injap jantung gantian akan dimasukkan menerusi tiub itu secara perlahan-lahan dan selepas injap ditukar ia akan berkembang dan mengambil alih fungsi injap asal.

“Selepas itu tiub akan dikeluarkan semula dan kemudian doktor akan menutup luka hirisan kecil itu,” katanya.

Masalah injap aorta jantung sering berlaku kepada golongan sudah berusia apabila ia menjadi rosak, keras serta sempit dan ia dinamakan sebagai ‘aortic stenosis’.

Katanya, apabila penyempitan berlaku, jantung terpaksa bekerja lebih kuat untuk mengepam darah yang perlu membawa oksigen dan nutrien ke seluruh badan.

“Apabila jantung bekerja keras untuk mengepam darah pada injap yang sempit ia boleh mengakibatkan sakit dada, perasaan pening dan pengsan.

“Namun apa yang paling kerap dan membimbangkan adalah pernafasan yang kurang. Ini menandakan fungsi jantung lemah. Apabila tanda-tanda lemah jantung berlaku, risiko kematian dalam tempoh dua tahun adalah kira-kira 50 peratus,” katanya.

Pembedahan terbuka dikenali sebagai TAVI dapat mengurangkan risiko kematian dan prosedur hanya kurang tiga jam.

Jangka hayat lebih panjang

Beliau berkata, dengan mendapatkan rawatan tidak kira prosedur TAVI atau pembedahan terbuka, masalah penyumbatan dapat dikurangkan dan injap dapat berfungsi seperti biasa.

“Jantung akan berdenyut dengan lebih baik. Pesakit juga dapat bernafas dengan lebih baik dan melakukan aktiviti harian seperti biasa.

“Jangka masa hayat juga didapati lebih panjang selepas menjalani prosedur TAVI atau pembedahan menggantikan injap yang rosak dan sempit,” katanya.

Bagaimanapun, bukan semua pesakit yang sudah berusia dan mempunyai masalah injap jantung sesuai menjalani pembedahan terbuka.

Katanya, pesakit yang mempunyai penyakit seperti masalah paru-paru yang teruk, menghidapi penyakit kencing manis atau kegagalan buah pinggang tidak sesuai menjalani pembedahan ini.

“Penyakit berkenaan meningkatkan lagi risiko rawatan jika menjalani pembedahan.

“Jadi inilah di mana peranan TAVI boleh mengambilalih dalam perawatan pesakit yang menghadapi ‘aortic stenosis’,” katanya.

Pada masa sama, pesakit masih perlu makan ubat untuk mencairkan darah seperti warfarin yang boleh meningkatkan risiko perdarahan dan yang paling serius adalah perdarahan di otak.

“Namun bagi pesakit yang menjalani TAVI pula, mereka tidak memerlukan ubat mencairkan darah, tetapi hanya mengambil ubat untuk mengurangkan kelikatan darah seperti aspirin atau clopidogrel di mana risiko perdarahan di otak jauh lebih rendah,” katanya.

Bagi yang masih muda atau di bawah 65 tahun, namun berdepan masalah injap jantung, mereka disarankan menjalani pembedahan terbuka dan digantikan dengan injap jantung mekanikal kerana tahan lebih lama.

Bagaimanapun, bagi yang masih enggan menjalani pembedahan terbuka, mereka akan dinilai sama ada TAVI sesuai untuk mereka.

Justeru, tidak kira apa juga prosedur, pesakit yang merasakan dirinya berdepan masalah sukar bernafas atau sakit dada, perlu segera mendapatkan rawatan.

Katanya, sukar bernafas adalah simptom injap bermasalah apabila jantung perlu mengepam dengan keras sekali gus menyebabkan lemah jantung.

Katanya, walaupun sukar bernafas juga boleh disebabkan oleh masalah otot jantung atau penyempitan pada salur darah namun dengan rawatan awal boleh mengesan punca utama.

“Jika ia disahkan akibat injap, doktor kemudian akan memaklumkan keadaannya dan memaklumkan mengenai rawatan yang perlu dilakukan segera,” katanya.

Lihat sejarah pesakit

Untuk menentukan bagaimana injap rosak, doktor akan bertanya dahulu sejarah pesakit kemudian menjalani pemeriksaan.

Jika doktor mengesyaki injap jantung yang rosak, pesakit akan terus menjalani ujian ‘echocardiogram’ atau ultrasound’ jantung kerana dari situ boleh diketahui sama ada berlaku penyempitan injap atau sebaliknya.

“Jika keadaan jantung sudah terlalu teruk, bengkak keterlaluan, nipis otot jantungnya, ini menandakan lambat mendapatkan rawatan dan berkemungkinan sukar untuk mendapat rawatan sewajarnya kerana risiko prosedur akan bertambah tinggi.

“Oleh itu, jika sudah ada simptom dan disahkan injap jantung bermasalah, penting buat rawatan segera supaya dapat menjalani kehidupan mereka seperti biasa semula,” katanya.

Info

Jenis penyakit jantung

  • Sakit jantung akibat darah tersumbat
  • Akibat otot rosak
  • Injap jantung rosak
  • Disebabkan sistem elektrik jantung
  • Selaput jantung
  • Jantung berlubang
References:

11 pesakit jantung jalani pembedahan percuma di CVSKL

KOS rawatan penyakit jantung memang tinggi tetapi sedaya upaya diusahakan untuk melihat insan tersayang menjalani kehidupan lebih sihat.

Bagi pusat jantung swasta, Cardiac Vascular Sentral Kuala Lumpur (CVSKL) memiliki cara tersendiri untuk membantu golongan tersebut.

Sempena meraikan sambutan ulang keempatnya, CVSKL menerusi aktiviti amal menyediakan prosedur jantung dan vaskular kepada pesakit kurang berkemampuan secara percuma.

Pusat perubatan itu meraikan ulang tahun pada setiap 28 November, memilih 11 pesakit kurang kurang berkemampuan untuk menjalani prosedur jantung dan vaskular tanpa membayar sebarang kos.

CVSKL dan pakar perubatannya bersama Yayasan CIMB menjayakan pembedahan amal yang sungguh meruntun sanubari.

Pasukan CVSKL diketuai Pengerusi dan Pakar Perunding Bedah Cardiothoracic, Tan Sri Dr Yahya Awang sendiri menyuarakan idea bagi mendedikasikan ulang tahun penubuhan kali keempat mereka.

Sempena ulang tahun ke-4 CVSKL memberi pembedahan percuma kepada pesakit jantung

Raikan penubuhan CVSKL

Bagi menjayakannya, semua caj hospital dan doktor dikecualikan untuk 11 pesakit yang dipilih sempena hari amal CVSKL itu.

Pasukan doktor terbabit melakukan satu pembedahan jantung terbuka (CABG), empat angioplasti, empat prosedur penciptaan fistula atrioventricular (atrioventricular fistula creation), serta satu masing-masing untuk ablasi dan implan perentak jantung.

Kesemua prosedur itu membabitkan kos sehingga RM400,000.

Katanya, ia adalah cara terbaik untuk meraikan penubuhan CVSKL yang menginjak tempoh empat tahun.

“Program ini bagi menyumbang kembali kepada masyarakat yang memberi sokongan kerana CVSKL, bukan sekadar hospital swasta lain tetapi hospital yang mempunyai program tanggungjawab sosial korporat (CSR) kukuh.

“Sebagai penyedia perkhidmatan penting, CVSKL berada dalam kedudukan baik untuk membantu golongan memerlukan terutama sepanjang COVID-19 ini,” katanya dalam kenyataan.

Bantu insan memerlukan

Beliau berterima kasih kepada Yayasan CIMB di atas sokongan terhadap usaha amal terbabit dengan berjanji untuk menampung kos bekalan perubatan atau pembedahan.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan CIMB, Rafe Haneef, menzahirkan penghargaan terima kasih kepada CVSKL atas pencapaian sepanjang empat tahun ini.

“Dengan kesihatan dan kesejahteraan komuniti sebagai salah satu bidang teras, kami berbesar hati dapat menyokong usaha ini sempena ulang tahun CVSKL untuk menyediakan prosedur jantung dan vaskular mengubah kehidupan.

“Kempen ini memberi manfaat kepada pesakit B40 dan kami akan terus memperkasakan komuniti dan mengubah kehidupan,” katanya.

Seorang jururawat yang bertugas di dewan pembedahan menyifatkan, 11 siri pembedahan itu dilakukan berterusan, satu demi satu.

“Ia adalah hari memenatkan bagi kami semua terutama pada hujung minggu di mana kami biasanya meluangkan masa dengan keluarga, tetapi menjayakan program ini sempena sempena ulang tahun kami,” katanya.

Source

Jaga kesihatan jantung secara konsisten

KUALA LUMPUR: Cardiac Vaskular Sentral Kuala Lumpur (CVSKL) dan MyFundAction komited menjalin kerjasama dengan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk membantu golongan yang memerlukan.

Kerjasama itu membolehkan golongan kurang berkemampuan menerima bantuan tuntutan pembedahan jantung pesakit yang terbabit.

Inisiatif murni itu dilaksanakan bersempena Hari Jantung Sedunia yang disambut secara meluas di seluruh dunia, pada 29 September ini.

Selain itu, ia sebagai kempen untuk memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai kadar penyakit kardiovaskular yang amat membimbangkan ketika ini.

Pengerusi dan Pengasas CVSKL, Tan Sri Dr Yahya Awang, berkata sudah menjadi prinsip CVSKL dalam memberikan bantuan kepada pesakit yang kurang berkemampuan.

Tan Sri Dr Yahya Awang.

Malah katanya, tema Hari Jantung Sedunia kali ini ‘Use Heart to Connect’ yang bermaksud memberi kehidupan kepada orang lain amat selari dengan usaha yang mereka lakukan.

“Ia juga menjadi sebagai peringatan kepada kita supaya menggunakan jantung untuk saling berhubung atau sekurang-kurangnya untuk membantu orang lain atau orang yang kita sayangi,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis menandatangani MoU bersama MyFundAction di Hospital CVSKL di sini, baru-baru ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif CVSKL, Tan Eng Ghee; Pengerusi MyHeart, Dr Ahmad Luqman Ahmad Shuhaili dan Ketua Pegawai Eksekutif MyFundAction, Muhammad Afiq Mohamad Nazri.

Sementara itu, Muhammad Afiq, berkata pihaknya teruja dapat menjalinkan kerjasama sedemikian dalam usaha membantu golongan sasaran memerlukan.

Katanya, ini kerana golongan kurang berkemampuan juga berhak mendapat rawatan kesihatan yang baik terutama ketika dalam keadaan pandemik COVID-19.

“Saya juga berharap kerjasama erat ini dapat dijalankan secara konsisten dalam usaha membantu golongan sasar di Malaysia khususnya mereka yang menghidapi masalah kesihatan jantung,” katanya.

Orang ramai yang mahu mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi CVSKL di talian 03 2276 7002 atau e-mel di info@cvskl.com

 

Awas degup jantung ‘berombak’

PERNAH rasa macam degup jantung sekejap kencang, sekejap perlahan tidak semena-mena? Lebih bingung apabila degupan bertukar seperti ‘berombak’.

Apabila itu berlaku individu menganggap ia situasi sementara dan mungkin disebabkan keletihan, tekanan kerja, ‘panas hati’ atau kesan selepas bersenam.

Lantaran itu, ramai tidak sedar sebenarnya mereka berkemungkinan menghidap fibrilasi atrium (Afib) atau (AF), iaitu sejenis penyakit berpunca daripada degupan jantung tidak teratur, aritmia.

Perunding Elektrofisiologi dari Cardiac Vascular Sentral Kuala Lumpur (CVSKL), Datuk Dr Razali Omar, berkata data epidemiologi di Malaysia tidak mencatatkan prevalen khusus untuk Afib, tetapi perangkaan sedemikian direkodkan di negara jiran dan rantau Asia.

Katanya, berdasarkan statistik di negara rantau Asia seperti Korea Selatan, Taiwan dan Singapura kadar prevalen bagi Afib di Malaysia dianggarkan sekitar 1.5 peratus daripada keseluruhan 32.6 juta penduduk.

Bagaimanapun, perangkaan itu mungkin mengundang kebimbangan lebih serius sekiranya kadar prevalen 1.5 peratus hanya terpakai kepada kelompok masyarakat berumur lebih 40 tahun atau merujuk kepada golongan berusia.

Turut dideritai pesakit muda

Menelusuri sejarah, Afib sebenarnya dikesan berlaku dalam tubuh manusia sekurang-kurangnya 5,000 tahun lalu, berdasarkan bukti penemuan purba dari China.

Penemuan pada manuskrip maharaja di republik itu, antara lain memuatkan sebaris ayat, iaitu ‘jika nadi lemah dan tidak sekata, ia dikaitkan dengan kematian’.

“Secara tidak langsung, kita dapat tangkap kaitan antara nadi laju dan tidak teratur dengan risiko yang membawa kepada kematian.

“Seiring penemuan dunia perubatan, risiko Afib didapati berkadar 12 hingga 14 peratus pada usia 80 tahun, namun pola itu dikesan berubah dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini.

“Di seluruh dunia, termasuk Malaysia, insiden atau prevalen Afib dilihat meningkat dengan sangat mendadak, tanpa diketahui punca di sebaliknya. Lebih membimbangkan, kini membabitkan orang muda.

“Dulu, Afib biasanya membabitkan orang tua, sekarang pesakit berusia 40 hingga 50 tahun yang tanpa sebarang penyakit, sihat, pelari maraton, perenang, kayuh basikal, tetapi mengalami degupan jantung tidak teratur,”katanya.

Mengundang maut

Dr Razali berkata, sikap memandang enteng menganggap Afib ‘penyakit orang tua’ bakal mengundang risiko maut sekiranya individu tidak mendapat rawatan lanjut.

Hal ini kerana risiko kematian bagi penghidap Afib disebabkan dua perkara, iaitu strok dan kegagalan atau (serangan jantung.)

“Tanpa sedar, sebenarnya mereka sudah ada komplikasi sehingga tiba-tiba tumbang ketika berlari maraton walaupun masih muda.

“Bila buat ujian, tiada saluran jantung tersumbat, padahal jantung lemah kerana bertahun-tahun menahan degupan laju dan tidak teratur tanpa sedar, akhirnya tumbang disebabkan Afib.

“Jika dibiarkan, Afib menjejaskan kualiti hidup kerana boleh merosakkan fungsi ginjal dan organ penting dalam tubuh, berikutan oksigen dari jantung tidak sampai,” katanya.

Pembunuh senyap

Sekiranya diteliti, Dr Razali menjelaskan Afib turut dikenali sebagai ‘pembunuh senyap’ ini mempunyai kaitan dengan hipertensi sekiranya keadaan kesihatan tidak dikawal dengan baik.

Selain itu, tiga lagi faktor penyebab ialah kencing manis, obesiti atau kegemukan dan penyakit jantung seperti koronari, kegagalan atau serangan jantung.

Katanya, pemeriksaan terhadap corak degupan jantung perlu dilakukan kerana Afib hanya satu daripada pelbagai jenis debaran, selain atrial flutter, atrial tachycardia, supraventricular tachycardia dan ventricular tachycardia.

Seiring ledakan teknologi, gejala Afib kini berupaya dikesan menggunakan peranti tertentu seperti jam pintar dan alat pengesan yang dihubungkan kepada telefon bimbit.

“Kalau dulu, doktor akan pasang ‘holter’ bagi memantau corak degupan jantung, namun masalahnya ialah pesakit tidak boleh mandi kerana badan mereka penuh dengan wayar berselirat sehingga mengundang kegatalan.

“Sekarang, seseorang itu tidak perlu ke hospital untuk menjalani pemeriksaan elektrokardiogram (ECG) bagi mengetahui gejala Afib dengan menggunakan kelebihan teknologi.

“Pilihan teknologi di pasaran ketika ini dapat memberikan bacaan sekurang-kurangnya satu hingga enam garis isoelektrik mampu mengesahkan mereka mengalami degupan jantung tidak teratur atau Afib.

“Selain itu, ada alat khusus untuk memeriksa tekanan darah yang menawarkan fungsi sama, dengan memberikan bacaan ARR (aritmia) atau AF,” katanya.

Datuk Dr. Razali Omar
Perunding Elektrofisiologi

Ablasi frekuensi radio

Berbanding meletakkan kebergantungan kepada ubat pencair darah bagi membendung risiko strok, Dr Razali berpengalaman hampir 30 tahun dalam bidang elektrofisiologi, berkata perubatan moden kini mempunyai kaedah penyelesaian terbaharu.

Degupan tidak teratur berpunca daripada kecelaruan denyut elektrik dihasilkan sel pada jantung berupaya diselesaikan menerusi kaedah ablasi frekuensi radio atau krio.

Ablasi frekuensi radio menggunakan haba panas, manakala ablasi krio berasaskan kaedah pembekuan, namun kedua-duanya mempunyai matlamat sama, iaitu untuk mematikan sel tertentu pada jantung yang dikesan menghasilkan kecelaruan denyut elektrik.

“Bukan semua pesakit sesuai untuk kaedah ablasi krio kerana ia hanya dikhususkan kepada mereka yang mengalami Afib secara ‘on and off’ (tidak menentu).

“Ablasi frekuensi radio diberikan kepada pesakit sudah lama menghidap Afib dan lebih rumit. Mengikut penelitian di CVSKL, 80 peratus pesakit Afib di sini dirawat menggunakan ablasi frekuensi radio, selebihnya, iaitu 20 peratus ialah ablasi krio.

“Kaedah terbaharu ini selamat, cepat dan mujarab. Hanya dengan dua jam prosedur, dua hari ditempatkan di hospital untuk tujuan pemantauan, kita dapat kembali menikmati kualiti hidup,” katanya.

Source

Reference: 

Pembedahan 16 jam disiarkan secara langsung

Dua pakar kardiologi tempatan diberi penghormatan apabila dijemput terbabit melaksanakan pembedahan secara langsung bersama sejumlah pakar lain di beberapa negara seluruh dunia, pada 6 Mei lalu.

Dr Al Fazir Omar dan Dr Rosli Ali yang berkhidmat sebagai perunding kardiologi di Cardiac Vascular Sentral Kuala Lumpur (CVSKL), adalah antara 26 pakar kardiologi yang terbabit dalam CTO Live Aid, bagi menjalankan pembedahan dalam tempoh 16 jam di negara masing-masing.

Pembedahan yang disiarkan secara langsung dalam talian itu bertujuan mengumpul dana untuk badan bebas, Doktor Tanpa Sempadan, di samping sebagai pengajaran kepada pakar kardiologi seluruh dunia.

CVSKL adalah satu-satunya hospital di Asia Tenggara yang terbabit dengan CTO Live Aid, di samping beberapa hospital terkenal di seluruh dunia.

Hospital itu memaklumkan, pembedahan yang berlangsung di CVSKL diketuai oleh Dr Al Fazir dan Dr Rosli bersama pasukannya, manakala pakar kardiologi Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Prof Dr Wan Azman Wan Ahmad sebagai moderator sesi pembedahan secara langsung itu.

Kumpulan dana bantu pihak terkesan

Dr Al Fazir menyifatkan peluang untuk terbabit dalam CTO Live Aid sebagai penghormatan, khususnya dalam usaha mengumpul dana bagi membantu pihak yang masih berdepan kekurangan dalam aspek perkhidmatan asas penjagaan kesihatan.

“Ia adalah satu penghormatan untuk dijemput sebagai antara jurubedah bagi CTO Live Aid untuk berkongsi pengetahuan kami bersama pakar kardiologi lain di seluruh dunia, di samping menyokong usaha bantuan COVID-19 Doktor Tanpa Sempadan.

“Di CVSKL, kami komited untuk memberi tunjuk ajar, mempelajari dan menambah baik hasil rawatan kepada semua pesakit,” katanya dalam satu kenyataan.

Secara keseluruhan, CTO Live Aid menyiarkan 10 percutaneous coronary interventions (PCI) bagi kes penyumbatan total kronik (CTO) serta 16 pembedahan bagi merawat biforkasi koronari.

Pembedahan selama 16 jam bagi kes penyumbatan total kronik (CTO) sedang dilaksanakan secara langsung dalam talian. – Foto ihsan CVSKL

Kongsi pandangan

Semua pembedahan itu disiarkan dan diulas secara langsung di laman sesawang CTO Live Aid bagi memberikan mesej teknikal penting dan klinikal serta membolehkan pakar, pemerhati dan orang ramai berkongsi pandangan profesional masing-masing.

Usaha menerusi CTO Live Aid yang dianjurkan buat tahun kedua berturut-turut, membolehkan usaha pembelajaran dan pertukaran maklumat membabitkan perubatan kardiologi antara pakar pelbagai negara, dapat terus berlangsung dalam pelbagai sekatan akibat COVID-19, di samping mengelak jangkitan pandemik itu.

Source

Reference